Tips-tips Ambil Takaful/Insurans

Secara amnya, masa yang paling sesuai untuk anda ambil polisi takaful atau insurans adalah secepat mungkin, semasa anda masih muda. Sebab paling mudah adalah kerana premium yang perlu dibayar adalah rendah dan anda boleh mengekalkan premium yang rendah ini untuk tempoh yang lama.

Kerana terdapat banyak jenis perlindungan dalam takaful atau insurans, cadangan am berikut dikemukakan untuk memudahkan pemahaman.

Jika baru berkahwin, ambil perlindungan nyawa untuk diri anda terutamanya jika anda adalah sumber pendapatan utama dalam keluarga tersebut. Ini untuk memastikan mereka yang masih hidup dapat meneruskan hidup setelah pemergian anda dengan sedikit pampasan kewangan.
Jika anda kerap menunggang motosikal atau bekerja sebagai buruh, ambil lebih banyak perlindungan kemalangan. Perlindungan kemalangan adalah di antara perlindungan termurah ditawarkan oleh pengendali takaful dan insurans.

Jika keluarga anda mempunyai sejarah ditimpa penyakit-penyakit yang boleh diwarisi seperti sakit jantung, kencing manis, darah tinggi atau kanser, ambil perlindungan penyakit kritikal dan Medical Card yang lebih tinggi.
Jika anda mempunyai beberapa tanggungan seperti isteri dan anak-anak, ambil lebih banyak perlindungan nyawa. Sekiranya sesuatu berlaku, mereka mempunyai pampasan yang mencukupi untuk meneruskan hidup. Sebahagian daripada wang pampasan itu juga boleh digunakan sebagai pelan pendidikan untuk anak-anak anda.

Jika anda mengambil pinjaman perumahan, seeloknya ambil lah MRTA atau MLTA untuk memastikan pinjaman tersebut dibayar sekiranya anda ditimpa kematian. Hutang akan dibayar dan waris anda boleh terus tinggal di rumah tersebut.

Sekiranya terdapat perubahan keadaan kewangan seperti berkahwin, mendapat cahaya mata baru, pertambahan hutang seperti pinjaman perumahan atau pertukaran risiko pekerjaan anda, seeloknya polisi takaful/insurans sedia ada dinilai semula agar perlindungan yang anda perolehi masih mencukupi.

Perlu diingatkan bahawa selagi anda tidak pernah ditimpa sebarang penyakit atau kemalangan, pihak pengendali insurans atau takaful selalunya bersedia untuk memberikan perlindungan tambahan tanpa mengenakan syarat-syarat tambahan atau loading premium. Tetapi jika anda pernah ditimpa sakit atau kemalangan, proses untuk mendapatkan perlindungan tambahan akan menjadi lebih sukar. Justeru, selagi anda masih sihat, nilai semula polisi takaful/insurans sekerap mungkin agar perlindungan yang anda perolehi adalah mencukupi. Tempoh untuk menilai semula polisi anda yang disyorkan adalah setiap 2-3 tahun sekali.

No comments:

Post a Comment